Sunday, 20 March 2016

Sumpah Tak Mudah

Mungkin aku kena privatekan blog aku ni. Dah semakin banyak cerita yang aku kena simpan sorang-sorang menjadikan apa yang jadi dalam hidup aku ni seolah-olah mimpi. Mimpi indah tapi tak tahu bila kena bangun dan hadapi realiti. Mungkin dengan menulis dapat membantu.

Ini rahsia. Sampai bila pun aku takkan cerita dengan sesiapa. Aku tak pernah dating. First dating aku dengan si R dan itu juga last time dengan dia. Kali ni aku dating 3 hari, bukan kat negara sendiri pulak tu. Ke negara seberang. Masa ni dah start nyanyi, "buku merah jangan lupa bawa, moga-moga belum tamat tempoh".

Kandungan detail suka duka trip tu tak perlulah aku cerita cuma benda besar yang pertama kali berlaku kat aku terjadi di sana. Aku dah dilamar K. Dia cakap dia nak jadikan aku isteri dia. Sumpah, serious sumpah aku tak tau apa yang perlu dirasa. Gembira? Tak. Sedih? Tak. Terkejut? Tak jugak. Takut? Entah.

Memikirkan benda-benda yang simple yang jadi antara kami sekarang tak mungkin jadi simple lagi. Aku mungkin akan dibasuh oleh ahli keluarga sendiri. Aku mungkin akan digelar perempuan perampas oleh keluarga K. Aku akan dicemuh kawan-kawan. Aku mungkin akan dipulau oleh semua orang. Mampu ke aku hadapi semua tu?

Dalam semua perkara dalam hidup aku, ini mungkin akan jadi paling extreme yang aku akan buat. Dan benda paling merisaukan aku ialah aku tak risau sekarang ni. Confirm ini bukan jalan mudah. Ini jalan susah dan aku dalam tak sedar dah pilih jalan ni waktu aku rapat dengan K. Niatnya aku dengan K untuk sementara sebelum jumpa yang lebih baik. Malu untuk mengaku dengan K yang aku sentiasa terbuka untuk perhubungan baru walau kami dah serious. Tapi apa yang boleh aku akui, satu2 yang datang aku tolak dengan bayangan K dalam kepala aku. Mungkin juga yang datang tu aku tak kenal, tak berusaha untuk mengenali aku dan lack of something yang ada pada K. Ayat manis K yang kadang-kadang langsung aku tak percaya. Aku selalu cakap kat dia susah aku nak percaya dia tapi dia convince kan aku yang dia ikhlas dan hanya cakap macam tu kat aku. Aku masih tak percaya which is good sebenarnya untuk aku.

Masih ada ruang persoalan waktu dia melamar aku. Masih samar apa yang akan berlaku dengan keluarga dia sekarang. Aku jadi nombor berapa sebenarnya. Kalau aku yang ke-2, sanggup ke aku berkongsi. Kongsi makanan pun kedekut apatah lagi nak kongsi suami. Sekarang ni kalau dia senyap lama, tak mesej pun aku dah boleh jadi sangat jealous. Apa dia buat? Dia spend time dengan wife, dengan anak2 ke? Itu hak dia. Itu pun hak family dia yang perlu dituntut daripada dia. Aku faham tapi kadang2 emosi mengatasi rasional. Sudahnya dalam ketaktahuan aku tu aku merajuk. Bersikap dingin dengan dia sebab bila emosi menguasai, aku terfikir dia cari aku bila dia nak kat aku je. Tapi bila berfikiran rasional, aku fikir dia dah habiskan masa setiap malam walau dah lewat untuk aku. Spend 3 hari dengan aku. Itu bukan masa aku. Itu bukan hak aku tapi dia beri.

Aku tahu ini bukan jalan mudah. Aku terlalu takut kebahagiaan sekarang akan kekal ke? Cinta dia pada aku sampai bila? Kami dah jauh, kami dah berat, kami kena bertanggungjawab dengan apa yang dah berlaku. Mohon yang baik-baik dari Allah. Tak tahu Allah terima atau tak. Yang penting mintak saja. Semua dah tertulis, Apa yang berlaku dan bakal berlaku harus redha.

Thursday, 11 February 2016

Waze ke IOI City Mall & Bangi Sentral

Cuti raya cina 5 hari buat apa?
Last day cuti yakni hari ni pergi IOI City Mall kat Putrajaya dan Bangi Sentral. Meh aku cite pasal IOI dulu. Hari tu aku dah pegi ngan driver balik dari supplier. Oops! Hehe..1st time pegi aritu macam syok, macam2 kedai ada. Tapi sebab pegi time keje, pegi ngan laki plak tu, so takdela nak rayau beria2. Jadi tadi aku decide pegi sekali lagi. Pandai dah jalan...ok, guna waze. Tapi pandai dah guna waze. Dah tak terlepas simpang, pastu nak kene u-turn. Bagus2. Pat myself at the back.

Sampai dalam kul 11 lebih. Banyak parking available. Masa aku balik pun, parking tak full. Mungkin sebab weekday atau mungkin banyak parking. Tak taula. Tapi kiranya dapat parking elok2 siap reverse parking. Bagus2. Pat myself at the back.

Nak cari apa kat sini. Takde list barang pun. Tapi teringin nak cari kemeja putih labuh, bag untuk K, handbag dan sandal untuk aku. Dan...semua ni dapat. Dengan puas hati. Tak taula K suka ke tak bag ni tapi kalau dia tak suka, biar aku je pakai. Mahal gak. Rasanya lagi mahal daripada bag Puma aku yang dia suka tu. Dibandingkan dengan bag-bag lain kat kedai tu, bag ni murah tapi bila dibandingkan dengan bag kat Al-Ikhsan, bag ni kategori mahal. So, okla tu. Nice buy. Bagus2. Pat myself at the back.

Pastu nak cari handbag. Hala tuju ialah House of Leather sebab bulan birthday ni aku dapat voucher birthday diskaun 50%. Sebelum pegi House of Leather kat tingkat atas, singgah dulu kedai2 lain kat bawah ni dan antara yang menariknya adalah butik Fossil. Masuk je dah dihidangkan dengan design2 bag yang cantik2. Simple dan nampak rustic. Salesmannya pun comel dan sangat membantu. Mungkin sebab dia comel maka aku tak rasa dia annoying dok ngekor aku. Aku pun tengok2 dan poyo2 tanya mana bag leather sebab aku nak leather. Bagi tahan sikit, takdela kejap pakai dah terkopek2. Aritu aku pergi kenduri pakai bag terkopek2 kau. Ingat sikit je, rupanya dah merebak2 kopekannya. Segan pulak. Kembali ke Fossil, aku pegang satu bag. Tu new arrival katanya. Siap keluarkan kertas2 kat dalam tu. Aku pun dah belek2, try2. Katanya bag ni kembali dengan design kunci. Tahun 2013, dah stop design ni, ni datang balik. Owh...baru ku tahu design kunci bagai ni. Masa aku belek2 tu, tak nampak pulak kat mata aku ni tag harga dia. Aku pun taknak tanya sebab dalam hati cakap aku nak pergi House of Leather dulu lepas tu kalau takde yang berkenan, aku datang balik sini.

Dipendekkan cerita lepas dapat kemeja putih panjang kat H&M, aku pun pergi ke House of Leather dan tengok ada sale kat sini sampai 50%. So, kalau aku pakai voucher birthday aku 50% ni, adakah aku akan dapat free??? Haha! Tak sempat nak tanya, aku tengok2 takde satu pun yang berkenan. Langsung takde. Rugi ni tak pakai voucher, tengok pulak purse. Takde gak. Atau mungkin aku dok pikir bag kat Fossil tadi. So, aku pun keluar dari kedai sebelum sempat salesgirl dia approach. Tu la, sapa suh tak gajikan salesman hensem. Kalau tak mesti dah stop dah.

Turun balik masuk Fossil, dan buat2 macam 1st time masuk. Nasib baik ada beberapa customer lain dalam tu. Pegang satu bag, tengok dalam, takde price tag. Kene tanya ke harga dia berapa. Tengok purse pulak. Masa belek dalam tu, sorang salesman dia approach, bukan yang tadi. Tengok price tag, harga purse tu RM300++. Rasanya bukan leather ni. So, otak pun buat calculation, kalau harga purse 300 lebe, bag mesti 2 kali ganda kot. Pernah je aku beli handbag 500. Tapi tu pun lepas diskaun 50% dapatla 200 lebe. Kat House of Leather la, tapi kat Mid Valley. Kalau kat sini, takde sale dan aku takkan nak berhabis setengah ribu untuk bag saja. Jadi aku pun terus keluar. 
Harper Large Saddle Crossbody

Balik ni tadi, aku cek kat website berapa harga handbag Fossil. Nauzubillah nak oi...rupanya harga dia boleh cecah seribu lebih. Yang dalam gamba ni, yang aku dok belek2 ni harga dia USD198. Kalau RM198 pun kira mahal bagi aku. Tengok website yang jual bag Fossil kat Malaysia macam Lazada. Bag lama2. New arrival ni takde lagi, ribu riban nak oi...tak mampu mak nak oi...Naseb baik la aku tak tanyakan harga dia kat salesman tu, kalau tak, mau terbelalak bijik mata aku ni dan mau juga tercampak bag ni kat dia dan terus berlari keluar dari kedai ni sambil histeria. Ok, melampau.

Tapi nak jugak handbag so aku masukla Parkson dan didapati harga bag kat sini affordable oleh aku si gadis desa ni. Maka mahu beli bag Sembonia. Hati berkenan bag 300 lebih yang tergantung tapi nasib baik otak cakap baik tengok yang berlonggok dalam rak tu. Banyak sikit diskaunnya dan Sembonia jugak ape...Maka berjaya la mendapatkan bag Sembonia dan sepasang sandal Alain Delon yang kalau tak dipakai nampak seperti kasut opah2 tapi bila sarung je, nampak stylish. Ok, melampau..tapi betul tau. Harga untuk 2 benda tu, tak sampai 300 pun. Lagi murah daripada purse Fossil.

Masa ni perut dah lapar dan teringin nak makan kat Dubuyo tapi macam segan pulak sebab tu time lunch dan ramai orang so baik ambik yang boleh take away. Cari yang takde kat Seremban (kot?), Auntie Annie's je pun. Original tambah salt and butter. Masin oit, tapi sedap. It has sweet, savory and umami taste. Btol ke term tu? Ntah...

Malam sebelumnya dah survey syurga tudung di Bangi membawa aku ke Bangi Sentral. Pandai aku cari jalan atau sekali lagi pandai dengar arahan Waze. Banyak betul butik2 kat sini. Butik yang biasa aku dengar cam Zawara, Sugarscarf, Bella Amara, Radiusite dan macam2 lagila. Sebelum keluar kereta dan berpusing cari parking tu memang bersemangatla niat nak masuk setiap kedai dan rasa setiap fabrik dengan tangan aku yang tak basuh pun pas makan pretzel tadi. Haha. 

Semangatnya tu tahan 2,3 kedai terawal je. Satu, sebab sini style butik2 kene tekan loceng, bukak kasut bagai. Pastu nak kuar, kena tekan butang sendiri di mana kena cari pulak butang tu kat mana. So, aku ngekor je sapa nak masuk butik. Takyah tekan loceng sendiri dan sebenarnya supaya mereka ada customer selain aku. Takdelah rasa awkward sangat nak keluar time diorang cakap terima kasih kuat2. 

Kedua nya pulak, takde yang berkenan. Aku nak cari shawl corak tapi takde yang menarik dan aku sebenarnya tak reti plak cemane nak pakai. Pastu tengok jahitan dia biasa je. Kalau kat Zanrias ni at least dia jahit tepi kemas2 dan sesuai la harga dia 30 lebih. Ni jahit jelujur tepi je pun dekat nak 40. Ntah, aku tak reti pilih kot pilihan masa kini ni. 

Ketiga nya pulak. Kedainya bertingkat2. Tingkat2 atas ni aku tak pergi langsung. Ada 1 kedai ni macam menarik bunting dia. Tapi belah dalam. Dah sampai pintu dia, tak reti plak nak kena bukak kasut ke tak ni. Takde kasut kat luar. Last2 aku keluar balik. Kalau pergi ngan member blehla nak rayau tak ketahuan, ni sebab sorang pastu fesyen cam tak kena plak dengan fesyen2 orang2 di situ. Aku pakai jeans fit ngan blous lengan panjang lipat lengan, shawl satin biasa2, pastu pakai sandal yang boleh dikategorikan sebagai selipar jugak. Orang lain cam pakai blous labuh, pakai jubah, tudung ala2 hipster gitu. I am so out of the league. Jadi untuk butik2 hujung tu aku jenguk je dari luar. Pastu diorang punya kedai ni alahai suramnya la. Bukan nampak pun isi dalam. Nampak je patung pakai jubah2 hipster, tak jadi la nak masuk. Jadi sudahnya dari kaki lima kedai, aku jalan kat jalan raya terus. Nampak signboard je. 

Sini banyak kafe2 hipster. Sekali lagi sebut hipster sebab decoration dia tu. Siap ada vespa dalam kafe. Sini la kot shooting program2 tv yang ala2 hipster tu. Dengan izin sebut sekali lagi. Mungkin aku tak cukup hijabista lagi untuk berkunjung ke tempat2 macam ni. Best je kot kalau pergi dengan member2.

So, camtula kisah cuti saya. Ha, macam karangan bahasa melayu darjah 3. Macam biasa semua ni buat sorang2. Sejenis yang suka walau ada la tercuit sikit2 jeles bila tengok orang jalan dengan member, dengan boyfriend, dengan family. Takpe, ade tu nanti. Masa tu nanti sejenis yang suka shopping companion gitu kan. InshaAllah, ada tu. Jangan putus harap. Ada...






Monday, 4 January 2016

Sebab Kita Nak Jadi Lebih Baik

HAPPY NEW YEAR!!!

Selamat tahun baru 2016. Dah masuk 4 hari dah pun. Achievement in 2015? Got myself a what so called boyfriend. Duh, not proud of it though...tau kan kenapa..? Dari segi kerja, rasanya tahun ni tahun kurang masalah besar, dah senior, dah pandai handle masalah dan dibantu oleh aura positif dari K. Tapi yang tak sukanya pasal diri di tempat kerja ialah aku dah macam self concious meaning sibukkan pasal appearance diri. 

Sejak tukar uniform baru, aku pakai tshirt dan tempat kami pulak dah pindah ke bahagian ofis, so aku pakai tudung cantik2, pinkan kat luar, gayakan cantik2. Ni la peluang aku nak pakai shawl aku yang banyak2 tu yang sebelum ni aku hanya pakai bila keluar. So, bila aku pakai shawl tu, nampakla bergaya sikit tapi shawl tu tak reti nak terletak elok2. Kang tepi tu dah tak kelepet pastu betulkan dengan freestyle pastu muka nampak bulat pastu pergi toilet, berdiri kat cermin betulkan. Not proud of myself doing that. Lagi teruk kalau ke belakang sebab takut terserempak dengan K dan ingin kelihatan nice depan dia so, sebelum bekerja tu sempat singgah toilet, betulkan apa yang patut. Sungguh tak bangga dengan habit ni sebab aku bukan macam tu dulu. 

Masa mula2 masuk kerja pakai jaket saiz kecil tapi masih besar kat aku. Tak gaduh nak alter, siap lipat lengan dan member tempat kerja lama panggil aku makcik cleaner. Tak pandai pakai perfume, tak mekap, pakai lip ice yang tak sempat tengah ari dah kering. Pakai tudung ada awning siap masuk dalam dan sebelum gaji pertama pakai sport shoes Form 4 yang dah buruk. Lepas tu kan pagi nampak presentable, menjelang tengah hari dan buat kerja penat2, muka akan jadi sangat kusam siap orang tegur "Ain, muka nampak...." ayat tak habis, aku sendiri pegi sambung, "hitam kan?' Langsung tak gaduh nak pegi toilet elokkan sikit muka tu. Jalan tunduk taknak pandang orang sebab satu, aku tak kenal orang dan orang tak kenal aku. Lagi satu malu, confident takde.

Dah lama sikit kerja, aku dok dengar perkataan collagen dan teringin nak cuba so aku beli collagen total image bentuk pil. Alhamdulillah, muka aku naik sikit serinya lepas berapa lama pakai. At least takdela kusam sangat. Sekarang aku pakai Aura White. Sorang pun tak tau. Aura simpan sorang. Bukan apa, nak bagitau pun buat apa.  Ada yang perasan perubahan. Bukan nak bagi putih melepak pun tapi nak bagi naik seri dan taknak nampak kusam je. So, sikit2 konfiden tu naik. Dah rajin tegur orang. Satu, sebab dah saka ramai dah kenal dan satu lagi sebab kawan dengan orang yang ramah tamah ajar aku untuk bersosial dan beramah tamah jugak dengan orang. 

Tahun ni macam mana? Apa yang nak dikekalkan dan apa yang nak diubah?

1. Nak kahwin. Umur dah 29 so tahun ni mohon ditemukan dengan bakal suami dan tamatkan zaman bujang dengan riang ria dan penuh barakah.
2. Kerja sungguh2. Jangan dok pikir sangat K tu. Dulu boleh je kerja jumpa tentang mata. Ni dah kenapa malu2 pulok?
3. Nak tambah sedekah. Ingat, rezeki kita dapat tu ada bahagian milik orang lain.
4. Jangan boros. Menyimpan, Kata nak kahwin. Duit dapat mana, gali lubang?
5. Tambah ilmu. Rajin baca suratkhabar, ketahui isu semasa. Jangan dok baca FB je.
6. Tak mau marah-marah, sedih-sedih, emosi-emosi. Dah tua dah. Kan tahun ni nak kahwin...
7. Jangan gatal, jangan gedik, jangan perasan cantik. Oh, pleaselah!
8. Cari peluang baru. Mungkin susana baru akan selesaikan kemelut hati.
9. Tak mau sombong tapi kekalkan sifat pendiam. Cakap perkara baik, kalau tak, lebih baik diam.
10. Jaga hati, jaga diri.
11. Hidup sihat, makan sihat, exercise sikit would you...
12. Jadi wanita perkasa. Jangan lembik!
13. Jangan kalut, tenang, tegas. But, be likable. Follow rules no.7
14. Tolonglah jangan dengki dengan orang. Apa yang orang ada, tu dia punya. Jaga bahagian sendiri.
15. Jaga solat, baca Al-Quran supaya jangan lupa.

As I said before somewhere mana tah. Dalam otak aku ni ada satu kotak tertutup rapi. Kalau keluarkan isinya maka serabutlah otak tu. So, biar dulu, tutup dulu. Lihat dari lubang kecil as a reminder for myself. Sebenarnya makin lama makin banyak barang dalam kotak tu tapi biar dulu. Masih belum sedia nak buka dan rungkai.


Sunday, 1 November 2015

Bila Kata Makan Diri

Betul lah apa orang kata. Jangan mengata orang, jangan burukkan orang. Antara sebabnya ialah tanpa kita sedar, kita buat apa yang orang tu buat malah mungkin lebih teruk. Jujur aku cakap, aku kutuk gila-gila orang yang kawan dengan suami orang. Marah betul aku, katakan yang perempuan ni tak fikir ke orang tu dah ada nak bini. Dan sekarang,...konon-konon masih tegakkan benang yang basah dengan kata at least aku bujang, belum ada suami.

Hari tu, aku marah betul dengan couple yang mengada-ngada depan aku. Tercuit sana, tercuit sini. Tahun yang sama, aku pun mencuit-cuit. Sekali lagi aku kononnya tegakkan benang yang basah dengan kata at least aku tak buat depan orang.

Aku ni dah lewat nak nakal. Orang lain dah buat apa yang aku buat ni masa umur 18 tahun, sekarang mereka dah jadi sangat baik. Dah kahwin dengan pasangan masing-masing, ada anak dan jaga aurat dan perlakuan. Aku pulak jaga semua tu 10 tahun lepas dan jadi nakal 10 tahun lambat daripada mereka. 

Sumpah, tak pernah aku imagine untuk jadi macam ni. Kali pertama rasa cinta dan dicintai. Kali pertama rasa rindu dan dirindui. Dan macam-macam lagi kali pertama yang tak dapat nak diluahkan dalam blog ni. Ada masa aku cakap, sesiapa saja yang masuk meminang, aku terima sebab mungkin itu je caranya untuk lepaskan diri dari belenggu cinta yang tak patut ni. Tapi...rupanya aku sayang dia. Terlalu sayang untuk pergi. Mungkin aku akan juga jadi terlalu kecewa tatkala dia tinggalkan aku satu hari nanti. 

Satu lagi kan, kalau kita rasa kita buat tu benda salah, kita akan terasa. Tiba-tiba lirik lagu, filem, drama, berita, semua rasa macam ada kena mengena dengan kita. Contohnya, hari tu tengok filem 'Cinta Paling Agung' dalam bas. Faham jela kalau dalam bas, memang terpaksa tengok. Boleh je nak tidur tapi sebab rasa macam ditepuk-ditepuk di muka bila terasa kena sangat dengan hidup sendiri. Aku ialah Dewi dalam filem tu. Walau belum cukup serius sampai nak kahwin, walau watak Aaron Aziz tak sama dengan K tapi nasihat mak dan ayah Dewi cukup tepat kena kat muka aku. Kasih sayang watak Siti Saleha terhadap suaminya betul-betul merentap hati aku. Dan rasa layakkah aku untuk dapatkan lelaki seperti diperkenal mak ayah Dewi kepada Dewi. Warak dan alim.

Aku tulis di blog ni waktu aku tenang dan rasa neutral. Maklumlah...aku kan janda hujung minggu. Jadi 2 hari ni mesej agak jarang-jarang. Dia sedang fokus dengan kotak hobi dia dan sekarang mungkin kotak family dia pulak. Jadi kotak aku ni dia bukak dan tutup bila-bila dia nak. Selalunya niat memang nak marah, nak merajuk tapi selalunya jugak tak jadi. Satu sebab faham, satu sebab sayang.

Satu hari nanti mungkin aku akan ditemuramah Nona dalam segmen Fokus, 'Office Wife' tapi kalau boleh pada waktu tu aku nak dikenali sebagai "Gayah, bukan nama sebenar. Kini telah berkahwin dengan pasangan pilihan dan mempunyai 2 orang cahaya mata. Gayah kini bahagia bersama keluarganya yang tercinta tapi suatu masa dulu pernah menjalin hubungan cinta dengan jejaka di tempat kerjanya yang sudah beristeri dan mempunyai anak". Muka tutup sekerat-sekerat. Kalau boleh jangan kasi nampak muka langsung, suara tukarkan suara chipmunk. Sebab ini rahsia...simpan sampai tutup mata.


Sunday, 11 October 2015

Sangsi Masih Ada

Terngiang-ngiang...apa betul? Niatnya dari hati atau sekadar ungkapan di bibir.

Suatu hari di akhir pertemuan, aku terjujur cakap aku bukan baik sangat. Mana taknya, aku ada mesej dengan orang lain selain dia jadi maknanya aku ni adalah nakal sikit. Bila dia tanya aku ada mesej orang lain tak, dan aku cakap, kawan je. Terus, terus dia cakap dia sayang aku. Lepas tu mood dia dah jadi lain. Apa yang biasa dia buat, dia dah tak buat. Aku jadi terkebil-kebil dan sepanjang perjalanan, aku mengeluh. 

Sampai rumah, aku mesej dia kata dah sampai walaupun dia tak pesan pun tadi (selalu dia pesan). Dia cakap ok dan cakap dia sayang kat aku. Aku pelik la kenapa tiba-tiba dia cakap lepas tu dia say sorry pulak sebab katanya dia banyak tanya tadi. Aku dah agak ni mesti ada kena mengena dengan hal tadi. Tak tau kenapa aku rasa bersalah sangat sebab buat dia jadi kecik hati. Sepatutnya aku rasa biasa je buat dia macam tu tapi entahlah...

Besok tu kami jumpa macam biasa. Dekat nak balik dia cakap dia sayang aku dan aku cakap ok. Dia tanya tak boleh nak cakap lagi ye. Aku cakap nak jawab apa, tu bukan soalan, So, dia tanya sayang tak? Aku cakap, aku tak boleh nak cakap sebab nanti aku sedih. Dia tanya sedih kenapa? Aku cakap sedih la. Dia cakap dia takkan bagi aku sedih. Banyak kali dia cakap macam tu dan aku cakap dia bukan tau aku sedih ke tak, lepas tu dia cakap dia yang mulakan, dia jugak akan habiskan. Mulakan apa aku tanya. Katanya dia yang start jumpa aku. Lepas tu ayat dia yang buat aku hampir nangis, hal dia biar dia yang uruskan. Tau kan hal apa. Aku agak tersentak waktu dia cakap macam tu. Aku terbayang ke mana pengakhirannya ni? 

Sampai sekarang masih terngiang-ngiang kata-kata dia itu hari. Ayat yang tak pernah disebut dan aku tak sangka dia nak sebut. Tapi masih ada sangsi apa ayat tu jujur dari hati dia atau sekadar nak pujuk hati aku.

Wednesday, 7 October 2015

Tolong Tarik Tangan Aku

Dalam lebih kurang 8 bulan perhubungan ni, ni la malamnya aku jadi sangat, terlalu, teramat, sungguh dan  kalau itu masih tak cukup, very...miserable.

Dia baru mesej, katenye baru balik dari hospital. Tak sempat nak tanya caring2, manja2 kenapa, dia dah cerita dulu. Daughter (selesa guna term ni) dia hospitalized suspect denggi. So, kat sini aku jadi sangat celaru. Aku tersedar daripada kisah dongeng yang mana dia kekasih aku kepada the real world yang dia tu suami dan ayah kepada orang lain.

Aku ambil masa untuk reply. Hampir meraung, stopkan music yang tengah playing dan otak dengan hati tengah bergaduh-gaduh suruh aku rasa apa. So, aku tarik nafas, hembus nafas dan reply. Dan aku perasan mesej latest dia tanya aku buat apa. Bait2 aku cakap, 'yeke' 'siannye' 'lame dah demam?' dan aku jawab aku tengah bayar bil. Dia pun jawab demam on off, dan dia tanya kat aku banyak ke bil nak bayar. Pattern mesej macam ni ialah dia jawab tapi dia taknak ini jadi tajuk utama. Dan mesej berangkai tak berkaitan ni adalah 2,3 sebelum terus keluar dari tajuk tu. Dia yang cari topik baru dan aku yang celaru tadi kembali normal.

Tapi ini pertama kali selepas berbulan, keluar  nama anak2 dia, perkataan umi...Allah, waktu ni betul2 rasa macam aku ni ibarat spesies parasit, menumpang hidup di spesies yang lain. Benefit yang aku dapat hanyalah kasih sayang yang tentunya berbelah bahagi. Dia, tak tau la dia dapat apa daripada aku.

Kononnya aku ni mampu handle lagi situasi ni, keadaan ni, hubungan ni, tapi ada waktu aku nak orang tarik tangan aku dan bawa aku pergi. Pergi jauh-jauh, bina hidup baru, lupakan kisah silam suka duka. Biar jadi rahsia sampai tutup mata.

Thursday, 1 October 2015

Jawapannya Ada

Satu, satu jadi penghalang. Bermula dari perpecahan section, perpindahan office, sampaikan pengubahsuaian tangga pun jadi sebab untuk kejauhan kami. 

Mungkin hubungan kami dah lebih daripada apa yang sepatutnya tapi ada kala aku rindu pada kenangan dulu. Waktu dia lalu belakang tempat aku. Waktu dia duduk sebelah aku nak tunjuk barang. Waktu kami berdiri sebelah-sebelah masa meeting boleh kata setiap hari. Waktu dia mengaku kat semua orang aku tunang dia. Waktu dia tak pernah tak panggil nama aku bila aku lalu tempat dia sambil kenyit mata.Waktu dia tiba-tiba datang bisik dia rindu kat aku. Waktu dia mesej aku seawal pukul 8. Aku rindu saat-saat tu sebab mungkin saat tu saat paling bahagia. 

Sekarang? Dulu dia kata dia nak selalu turun bawah tengok aku. Janji kosong. Kata nak selalu mesej aku sebab line internet tempat aku bagus. Janji kosong. Satu benda yang berubah ialah kami selalu jumpa lepas kerja. Itupun aku rasa macam aku yang melebih-lebih. Tahan duduk kilang sampai pukul 7 sebab nak sama-sama balik dengan dia. Kalau balik awal pun, gigih menunggu dia, pergi menyinggah merata-rata, duduk tunggu kat tempat tu sampai dia datang. Kami tak buat apa. Duduk dalam kereta, borak-borak, cerita hal kerja, pengalaman dulu dan ada kadang-kadang dia cerita pasal kehidupan sekarang. 

Sumpah, aku tak faham macam mana hidup dia sekarang. Dia duduk dengan family wife dia. Macam mana dia manage his life between his family and aku, aku tak tahu. Dia bukan dengan aku 24 jam. Bila bukan dengan aku, aku faham dia dengan siapa. Ada antaranya dia cerita masa dia untuk hobi dan minat dia tapi bila ada masa aku tanya dan dia jawab dengan muax, aku faham dia taknak aku tanya lebih. Dia kata yang dia tak pernah tipu aku. Ermm..memang aku tak pernah percaya. Mungkin dia cakap betul tapi dia tak cerita semua. So, apa yang dia tak cerita tu, mungkin sebab dia nak jaga hati aku dan mana ada orang nak cerita hal family kat skandal kecuali masalah.

Dia cakap dia sayang aku tapi ada hari2 dia. Kadang-kadang sedih juga bila mesej goodnight dia takde sayang. Memang dia yang cakap, tapi aku yang rasa. Rasa sayang kat dia dah membuak2. Tapi sampai mana. Dia takkan nak kahwin dengan aku. Dating pun tak lepas lagi. Hari tu sekali je. Itu pun tak plan, plan berterabur je terus pergi. Dia kata nak dating hujung bulan 9. Dah masuk bulan 10 pun. Date entah ke mana, month entah ke mana. Aku faham. Aku tak paksa. Aku ikutkan dia. Dia ada family. Mana dia nak cekau duit, mana dia nak ada masa. Apa alasan dia. Aku kononnya sentiasa available walaupun aku tak tahu macam mana aku nak bagitau ayah aku nanti.

So, sikit-sikit kami ni dah semakin jauh sebenarnya. Dia yang nampaknya jauhkan hati dia daripada aku. Kononnya aku ni ada safe stock, dia taknak, ramai lagi nak. Takyah nak perasan la perempuan. Tapi doa jela supaya dapat suami sempurna dia mata aku. Doa pun macam dah tak khusyuk sekarang. Solat fardhu pun sekadar buat, macam mana nak buat solat istikharah nak mohon petunjuk jodoh. Astaghfirullahalazim...dah jauh sangat aku daripada Allah gamaknya. Orang yang kononnya suka kat aku ni semua dugaan, cobaan nak tengok jujur mana aku nak bina masjid kerana Allah.

Satu, satu mungkin jawapan terungkai kenapa jadi macam ni. Tapi hari esok tak tau lagi. Apa pilihan aku untuk hari esok dan seterusnya. Mohon yang baik-baik. Moga dapat yang baik-baik. "Kita tak boleh jadi orang lain, tapi kita boleh jadi lebih baik"- Adam, Nur Kasih.

Saturday, 5 September 2015

Terima Kasih Tak Terbalas

Cerita ni dah lama, tapi rasanya patut tulis sebab takut lupa. Takut lupa pada budi orang, kebaikan orang.

Ceritanya di suatu petang, aku dah semangat waja nak balik kerja sebab dah janji nak jumpa dengan K. Tengah semangat-semangat tu, aku tegur 'dia' on the way aku nak pergi parking. Masuk kereta, lepas tu aku keluar dari parking. Masa ni rasa macam lain macam je kereta ni, mungkin ke sebab dah tak sabar sangat nak jumpa K sampai bawak pun macam gelong je. Time membelok nak sampai guard post tu, kereta tu membelok lain macam sangat.

Sampai kat guard, pak guard tu cek kereta aku lepas tu tanya aku tak perasan ke tayar dah bocor. What, bocor?! Aku terus keluar kereta dan tanya kat pakcik tu bocor ke atau kurang angin ni. Dalam hati bukan pikir pasal balik lambat tapi dok pikir cemane nak jumpa K ni? Sebab nanti besok aku cuti lepas tu weekend. Lama nanti tak jumpa dia. Lepas tu pakcik tu tanyakan ni tayar tubeless ke? Aku pulak sungguh clueless dengan tayar yang aku pakai. Pakcik tu pun suruh aku bawak pelan-pelan pegi guard post depan lepas tu pinjam pam tayar. Lepas tu aku suggest tukar je la tayar ni. Aku ada tayar spare. Pakcik tu kata dia boleh tolong tukar tapi dia sorang-sorang nak cek kereta so, aku pun kata "takpe, saya pegi depan". Sambil tu dia roger kat guard depan cakap aku nak pinjam pam.

Aku pun pelan-pelan drive pegi gate depan. Keluar je aku dari kereta, nampak dia and member dia datang ke gate depan. Dalam hati aku kata dia ni nak tolong aku ke, kebetulan pegi depan ni. Pakcik guard dari dalam tanya "sapa tadi nak pinjam pam?" Aku pun jerit "help, help!" kat pakcik tu. Aku tak pasti, tapi rasanya dia yang ambikkan pam tu daripada pakcik guard tu lepas tu terus menuju keluar ke kereta aku. Aku pun mintak tolong dia. Dia pun start pam tayar aku lepas tu kata "kalau macam ni, sampai besok pagi aku pam tayar ni" so aku cakap, tukar jela dengan tayar spare. Dia kata tayar spare ni sempat sampai kedai tayar je. Adus, K...

Tengah kecoh-kecoh tu, aku sempat bagi mesej kat K dan time tu jugak bos aku dan colleague aku balik. Diorang senyum-senyum je sambil tanya. Aku memang tak sangka colleague aku boleh keluar dan tolong aku. So, dia dan colleague aku la dok beria bukak tayar, keluarkan tayar spare, pam tayar spare, ganti tayar. Tengah-tengah diorang gigih buat tu semua, K pun lalu. Dia cakap "pancitla pulak". Dia tanya nak buat apa lepas ni. Aku pun cakap nak kena pergi kedai tayar dan aku pun tanya mana kedai tayar kat K. K cakap follow lah dia, nanti dia bawak. K tak turun pun dari motor tapi setia tunggu situ sampai sudah. Ramai jugak lalu lalang kat situ, ada yang hon, yang tegur. Masing-masing care dan concern.

Aku taknak pergi kedai tayar hari ni sebab dah lambat. Aku tanya sempat tak aku balik rumah dengan tayar ni lepas tu besok aku ganti. Kebetulan pulak aku cuti besok. Dia kata boleh tapi kena bawak slow-slow. Colleague aku pun pesan bawak slow-slow tambah lagi dengan K. Dia kata "tengok, ramai orang suruh ko bawak slow-slow".

Dah settle semua aku pun ucap terima kasih bebanyak kat semua yang tolong. Memang rasa tak terbalas la budi baik diorang tu. Aku bukan siapa-siapa. Aku bukan baik pun, tapi orang baik dengan aku jadi aku rasa grateful sangat.

Balik tu K jalan dulu, dah nak sampai traffic light, dia perlahan lepas tu aku bukak tingkap dan cakap aku nak tukar tayar besok maksudnya takyahla kita pergi kedai tayar. Dia pulak salah faham dan tanya nak terus balik ke. Aku tak maksudkan tu, tapi aku angguk dengan berat. Lepas traffic light, dia terus, aku belok, lepas tu aku dapat mesej daripada K suruh take care, sorry sebab tak tolong tadi sebab tengok ramai dah tolong. Aku jawab, takpe dan boleh je nak jumpa kejap lepas tu dia terus balas ok. Terus tu means ASAP, immediately. Memang ok paling laju daripada dia.

So, dipendekkan cerita, kami jumpa la petang tu. Dan besoknya aku tukar tayar depan. Point cerita ni ialah nak mengingatkan rasa terima kasih pada insan-insan yang tolong aku pada hari tu.

Sunday, 2 August 2015

Rasa Penting

Ini rasa yang pertama dalam hidup...dengan dia.

Aku tak pernah dilayan seperti orang penting sepanjang hidup aku waima oleh keluarga sendiri. Dan kalau ada sekelumit perbuatan atau perkataan yang manis-manis, aku mudah cair walau tak mudah percaya.

Kisahnya dua tiga hari ni K tak sihat tapi dia masih datang kerja. Hari ni aku dah bersedia untuk tak jumpa dia sebab semalam dia dah tak larat. Pagi pun tak nampak kelibat kenderaan dia kat parking. Tapi tiba-tiba ternampak dan kami saling bertukar pandangan seimbas lalu waktu dia baru sampai.

Dia kata nak balik awal. Aku faham dan memang suruh dia balik. Sempat jumpa kejap sebelum dia balik. Memang tak puas tapi dia dah selsema dan batuk-batuk jadi kesian pulak kalau nak pujuk suruh dia stay.

Tiba-tiba ada call kat telefon ofis dari dia. Dan cerita yang sweet kat sini ialah dia call bukan dari ofis dia tapi dia call dari luar. Semata-mata nak beritahu yang dia dapat MC dan dia nak balik rumah. Siapa aku pada dia untuk dia beritahu. Pada ketika itu yang aku rasakan aku adalah penting. Cukup penting untuk diberitahu di mana dia.

Dan sepanjang hari tu selepas ketiadaan dia aku jadi sunyi, hilang arah dan bosan...

Tuesday, 21 July 2015

One of The Box is Mine


Because I believe that men's brains are made up of little boxes (this man talks about it until 1:35). Bermaksud dalam otak lelaki ni ada kotak-kotak kecil. Satu kotak untuk kerja, satu kotak untuk hobi, satu kotak untuk keluarga dan satu kotak untuk skandal(?). Itu yang membuatkan aku masih meneruskan hubungan ni.

Bukannya aku tak tahu dia dah ada anak bini. Tapi somehow along the way, we stopped talking about it. Aku tak tanya pasal anak bini dia dan dia dah tak cerita. Aku pulak tak pasti samada aku nak tahu atau tak. Dia hidup macam orang bujang, balik kerja selalu singgah minum. Masa puasa hari tu, selalu jugak buka puasa dengan kawan-kawan kat luar. Wife dia tak bising ke? Malam-malam lepak minum luar. Tak layan anak-anak ke? Hari minggu dia selalunya tak mesej. Bila malam mesej, aku tanyakan dia tadi buat apa. Katanya dia duduk rehat kat rumah je. Masa tu dah dekat nak raya. Tak shopping raya ke? Aku yang dok risau memikirkan persiapan raya untuk keluarga dia. Tapi aku tak suarakan soalan-soalan aku tu. Apa yang dia cakap, aku okkan je. Mungkin dia nak jaga perasaan aku so dia takla cerita apa dia buat dengan family dia. Aku pun tak marah kalau dia tak mesej aku lama sebab aku kata kat dia aku faham. Dia tengah memberi perhatian pada satu kotak. Dan kotak yang ada aku ni, dia tutup dan letak tepi kejap. Aku faham, terlalu faham.

Tapi kadang-kadang tak boleh nak elak hati ni tersentak bila dia sebut perkataan anak, orang rumah. Walau masa tu tak cakap dengan aku, tapi bila terdengar perkataan tu, kaki aku macam ditarik untuk pijak ke bumi nyata. Dia suami orang. Yang paling sadisnya bila reality hits in a dream. Aku selalu mimpikan dia tapi mimpi yang menunjukkan realiti. Satu mimpi tu, aku kononnya tengok gambar-gambar dia dalam social media. Gambar yang terawal, gambar dia seorang, lepas tu gamba dia 1 family tapi dia crop gambar family dia, lepas tu lama kelamaan gambar dia dan family dia tanpa crop. Bila tersedar, rasa taknak fikir apa-apa sebab tak mahu rasa perasaan tu. Satu lagi mimpi waktu tu kat kilang, dia bawa anak dia datang. Siap dukung anak dia (Dengarnya anak-anak manja dengan dia). Rupanya dia buat majlis hari jadi anak dia kat kilang. Waktu tu aku senyum saja tapi aku mengelak dari hadir. Bila tersedar, sekali lagi aku tak mahu fikir rasa tu.

This relationship getting serious every day. Ada ketika rasa bersalah hadir. Ada ketika terasa kalau dah macam ni perasaan aku kat dia, boleh ke aku terima cinta lain. Wahai suami, sekali lagi diminta anda tepek indication kat dahi supaya saya senang tahu, supaya saya tak lagi menunggu.




Sunday, 12 July 2015

Raya ni nak Happy

Raya ni nak happy...

Azam setiap kali raya. Setiap kali raya jugalah air mata ni senang sangat nak tumpah. Setiap kali raya jugalah syaitan yang sebulan terikat tu serang aku dulu sebab raya je aku mudah mengamuk.

Kenapa? Harapan raya terlalu tinggi. Harapan nakkan rumah kekal cantik sebab dah penat mengemas masa bulan puasa. Lebur. Harapan nakkan balang kuih sentiasa penuh dan tak perlu refill setiap kali anak buah melantak kuih raya dalam balang depan TV. Lebur. Harapan nak buat photoshoot raya sambil pegang props bagai dan ada beratus gambar untuk dipilih sebagai profile picture FB. Lebur. Harapan nak beraya rumah saudara mara sambil menggayakan baju raya yang dah try test sejuta kali depan cermin sebelum raya. Lebur.

Semakin tua ni kena terima dan redha yang raya sekarang takkan sama lagi macam dulu. Dulu, semua benda tersedia. Baju raya pun mak gosokkan. Duit raya tunggu orang hulur je. Pinggan mangkuk takyah basuh. Pakai comel-comel, lepas solat raya, balik Labu beraya dengan sepupu-sepupu. Pergi beraya ke rumah orang tak kenal. Tak payah pikir apa-apa.

Sebab sekarang aku memaksa diri untuk berfikir. Nak happy pun kena fikir. Kena fikir untuk buat sesuatu yang akan membuatkan aku happy di hari raya. Apa yang perlu fikir? Fikir untuk beri harapan yang paling minima di hari raya ni. Bertahun dah aku sambut raya dan sedih pasal benda yang sama. So, aku kena standby awal-awal untuk terima perkara yang sama tahun ni dengan hati yang redha.

Moga dengan mohon happy tahun ni, tahun depan aku dapat salam cium tangan suami. Hehe. Encik suami, sila tepek indication kat dahi menyatakan awak tu suami saya. Saya dah ready nak jadi rusuk kiri awak ni.

Sunday, 21 June 2015

Luahan Hati Berbunga

WAJIB KAHWIN!

Tapi dengan sape???

Aku makin seram dengan perasaan aku terhadap K ni. Rasa makin sayang dan macam dah tak segan silu pulak aku nak tunjuk. Aku dah boleh cakap 'miss you' kat dia. Ayat yang susah sangat-sangat nak keluar dari mulut aku kepada orang lain. Sebab aku jenis, kalau tak ikhlas, tak akan cakap. Dan satu lagi tak akan cakap sebab taknak tunjuk perasaan sebenar. So, ni kira dah ikhlas dan nak tunjuk dah ni.

Sebab ni kan hubungan rahsia, so aku tak boleh langsung nak share kisah aku kat sesape. Waima kucing sendiri. Simpan sorang-sorang. Senyum sorang-sorang (tu dah selalu), risau sorang-sorang, sedih sorang-sorang. So, ni jela tempat luahan hati dan mohon yang membaca sekadar baca. 

He is so sweet. Like sumpah, sweet! Satu hari tu, kitorang tengah tunggu nak meeting. Tempat aku dari dulu memang sebelah dia, atau lebih tepat sebelah section dia. So, aku sampai je, dia gamit aku and bisik kat telinga aku "aku rindu kau". Aku senyum je. Sekali lagi dia datang bisik...

Aku sebenarnya selalu sangat usha dia dari cermin tingkap tinted depan aku. I used to hate that place. Sempit, takde privacy. Tapi I kinda like that place now especially the tingkap. Dari situ aku boleh nampak reflection dia. Kalau boring-boring, ngantuk-ngantuk, automatik pandang tingkap dan renung dalam-dalam untuk cari silhouette dia. Sebelum ni pandang kiri cari H. Tapi sekarang macam lupa pulak H. Kadang-kadang je cari dia takut-takut dia tak datang sebab dah resign. K pun selalu je datang tempat aku. Konon-konon nak cerita pasal kerja. Bunyi cerita kerja tu audible la tapi lepas tu ada je selingan kata-kata manja. Which is sweet kot. Tapi dia tak duduk lama. Tak macam dulu time dia boleh duduk sebelah aku berjam2. Mungkin dia segan, atau dia takut orang lain syak, atau mungkin dia geram. Ha...yang tu seram.

Masa meeting satu hari  tu, aku dah elok-elok duduk sebelah dia lepas tu dia ada panggil sorang budak section lain nak inform something. Lepas tu budak tu tak reti pulak nak balik ke tempat asal dia tadi. Dua tiga kali si K ni halau budak tu "Dahla, pegi belakang balik. Kacau je aku nak duk sebelah tunang aku," Bunyi memang macam lawak, tapi aku tau dia serius, dan aku pun dalam hati memang menyokong 100% dia halau budak tu tapi aku segan la nak cakap jugak. Aku senyum je la. Tapi kelakar kot sebab dah dua tiga kali cakap, budak tu langsung tak berganjak. Ye betul dia taknak kitorang duduk sebelah-sebelah. Dan ada satu hari meeting tu pulak, dia tak join. Member dia join. Tiba-tiba dia dari mana tah datang, panggil nama aku dan bisik, "I miss you". Aku tak terkata apa sebab macam amende la datang tiba-tiba semata nak cakap tu. Tapi sudahnya aku dok pikir tu je masa meeting.

Aku sekarang selalu duduk kat bilik lain. Jauh dari dia. Hari tu, dia pun duduk kat bilik tu kejap sebab dia ada kerja khas. So, masa tu rasa macam nak berterima kasih kat bos dia sebab tak bagi dia duduk kat ofis dan aku pulak dengan sukarelanya jauhkan diri dari kawan-kawan untuk buat benda paling bosan dalam bilik tu. Dia kadang-kadang panggil aku tanyakan pasal komputer. Aku pulak bukan tau sangat, tapi dia sungguh-sungguh mintak aku bantu. Dalam pada menghulurkan bantuan tu, ada yang jeles. Skandal lama dia. Aku pun masih jeles dengan skandal lama dia ni. Yela, dulu diorang ni skandal berat sampai ada nak resign. Tapi aku pikir balik, sekarang K skandal aku. Cerita dia dulu, buat peringatan sekali-sekala je untuk aku. Nampak la jelesnye tu sebab ulang alik lalu dekat dengan tempat kitorang, ada barang yang patah. (Eh, marah betul tu), tetiba tegur barang yang aku pakai, dan time tu jugak minah ni jadi helpless sebab acah-acah mintak tolong kat K. Kelakar pun ada jugak dengan minah ni.

Tapi masalah/ bless nya bilik ni ialah ramai sangat umat manusia. Jarang kami dapat tinggal berdua. (Dilindungi dari maksiat...). Dia ni suka pinjam barang aku sebab dalam proses ambil dan pulang barang tu, cuba nak buat contact. Tapi selalu tak berjaya sebab aku elak. Elak untuk mengelak jadi pompuan gatal. Selalu kalau dia panggil aku, mata mesti kenyit-kenyit sambil pandang orang, sebab takut orang lain nampak. Benda tu bagi aku macam comel tau sebab kami berdua je yang tau benda ni. Simpan sesuatu rahsia berdua is such a thrill!

Pheww, macam mana boleh gigih nak bercerita ni tak taula. Tapi mungkin tu la, sebab takde tempat nak share. Ni bukan share la, just luahan hati yang berbunga-bunga.




Tuesday, 16 June 2015

Pertama Kali

Pertama kali.

Cuba sedaya upaya untuk nafikan. Tak percayakan kata rindu dia, tak percayakan kata cinta dia. Nafikan perasaan yang rindu jugak kat dia dan nafikan perasaan sayang yang dah makin bercambah.

Pertama kali tak malu nak tunjuk kat orang, dia istimewa untuk aku sekarang. Tak marah bila orang sebut-sebut nama dia dan kaitkan dengan aku. Tak kisah bila dia panggil aku banyak kali mintak tunjuk ajar MS Excel yang aku pun tak berapa reti.

Pertama kali aku suka orang yang suka aku.
Pertama kali jua aku suka tu suami orang.

Dear future husband, mohon tepek indication di dahi yang awak tu suami saya nanti.

Monday, 18 May 2015

'Janda' Hujung Minggu

Kadang-kadang rasa cam vangang gak nak share cerita camni. Tapi cerita jela.

Sebab apa aku susah nak cakap aku sayang orang, rindu orang...? Sebab kalau aku dah ada perasaan ni, dia milik aku. Milik aku seorang. Dan dah tentu si K bukan milik aku. Tapi sebab aku dah mula ada sikit perasaan mengarut tu, maka aku jadi sedih. Aku sedih bila aku sangat faham mana letak duduk aku ni.

I used to like weekend. Tapi sekarang aku jadi sedih bila hujung minggu sebab aku akan jadi 'janda'. No wechat dari malam jumaat sampai la ke malam ahad. Kalau ada pun sikit-sikit dan cerita selalu tergantung. Tiba-tiba je dia langsung tak balas. Dan tiba-tiba je dia boleh mesej balik dengan perkataan 'sayang', 'miss u', 'dear', 'luv'. Dah sampai masa perkataan2 tu semua dah tak memberi makna kat aku. So, aku jadi macam orang mati laki di hari minggu. Checking phone seratus juta kali. Refresh(?) kot2 mesej tersangkut tak masuk. Do those crazy stuff yang tak logik dilakukan pada sebijik telefon. Dok pujuk hati dengan lagu The Lima - Separuh Masa dan finally aku nyanyi lagu 'the chicken rice shop' siap dengan kokokan ayam kat hujung. 

Dia wechat malam ahad tu dalam pukul 10. Agak awal daripada biasa. Aku agak dia pegi layan bola. Memang betul pon. Aku buat2 sentap, tapi bukan buat dah kot bila dah sampai keluar air mata tengok mesej dia. Nak buat tak layan tapi....rindu. Dah acaner? Lepas tu dia cakap dia nak layan bola dia. Ok, marah bila dia cakap camtu, tapi aku cakap ok. Lepas dah agak lama aku tanya "bola tak habis lagi ke?" lama....tak jawab. Aku pun cakap aku nak tido. Lama...baru balas dengan ayat standard dia tu. Patut ke aku tak marah?

Pagi tadi aku jadi pompuan normal. Pompuan normal dia merajuk. So, aku merajuk betul tadi. Pagi tu aku pegi tempat, tak nampak dia. Tengok reflection tingkap pun tak nampak dia. Ah, sudah. Tak datang ke? Aku tekad pegi toilet. Ade plak.. Dia tegur aku, aku buat muka masam. Dia wechat, suruh aku senyum. Aku cakap taknak. Tapi bila aku mood merajuk macam ni, aku lagi senang nak borak ngan dia dan dia tak le malu nak cakap ngan aku. Kira cam ada modal la bila buat2 marah macam ni. Dia datang kat aku, cakap "lama tunggu ni". Aku tanya dia "sapa yang lama tunggu skang ni?" Aku tak pernah cakap macam tu sebab kan aku selalu cakap aku faham tapi hari ni aku nak jadi pompuan normal. 

Ko ingat watak Ayda Jebat dalam 'Isteri Separuh Masa' tu dia tak paham ke? Dia paham tapi sebab laki tu masih nakkan dia, jadi dia cuma jadi pompuan normal. Merajuk, buat mengada2, nakkan laki tu teman dia sepanjang masa. Ada satu cerita aku tak ingat tajuk apa. Pelakonnya Ayu Raudhah. Heronya pun tak ingat sapa. Tapi diorang ni kena kahwin kontrak. Laki tu dah ada makwe, dan dia kata kat makwe dia mintak tunggu setahun lebih. Dalam cerita tu, penonton dibuat supaya simpati dengan watak Ayu. Tapi sebenarnya watak makwe ni yang paling sadis. Dia tak salah. Dia dah dijanjikan jadi isteri dan akhirnya dia terpaksa beralah bila hero dah sayang kat bini. Hua, sedih sungguh.

Bukan nak suruh kesian, tapi hati pompuan. Penuh misteri yang kadang-kadang pompuan pun tak tahu. Nah, ni lagu pujuk hati 'janda hujung minggu'.


Tuesday, 12 May 2015

Bibit Kisah Temuduga SPA Pembantu Pendaftaran KP17

Cerita ni bulan lepas, so agak2 dah berkarat sikit la ye nak cerita balik. Kisahnya pada 10 April 2015 aku telah mendapat khidmat pesanan ringkas atau ringkasnya lagi SMS mengatakan aku dipanggil untuk temuduga SPA Pembantu Pendaftaran Gred KP27. SMS tu suruh aku ke laman web SPA untuk detail.

So, aku pergi laman web SPA dan betullah yang aku dipanggil temuduga Pembantu Pendaftaran pada 30 April 2015 kat Wisma Negeri, Seremban. Lepas tu, teruslah aku cari2 blog untuk dapatkan tips temuduga kerajaan. 1st time nih interview gomen. Lepas tu, pada 14 April, aku terima 1 lagi SMS yang sama tapi kali ni dia jadi gred KP17 pulak. So, mana satu betul? Gred KP17 tu yang betul dan aku tak bother pun kenapa sebelum ni KP27. 

Dipendekkan cerita yang tak berapa panjang ni, aku pergila ke Wisma Negeri pada 30 April tu. Tak kekok sangat masuk situ sebab sebelum ni dah pergi tukar IC (ni mungkin cerita kat post lain). Interview tulis dalam surat tu pukul 09.10 pagi. Aku sampai situ dekat pukul 08.30. Aku tanyakan kat kaunter ambik nombor dan orang tu tunjukkan kat aku pintu masuk ofis. Aku pun masuk dan rupanya akak kaunter tu tunjuk kat aku arah nak pergi mana. Aku pulak bajet-bajet nak duduk bagai kat situ. Sempat tak duduk lagi, ikutla akak tu. Dia tunjukkan kat aku suruh masuk bilik mesyuarat. Dalam tu ada 3 orang lagi. Ingatkan semuanya nak interview, rupanya ada sorang tu coordinator. Aku pulak main terjah masuk tak bagi salam terus nak duduk. Akak coordinator tu yang bagi salam dan suruh aku duduk sebelah dia. Aiyo, terperanjat mak dik. Muka akak coordinator tu seperti cikgu sekolah rendah dan aku merasakan waktu tu aku darjah 3. Rasa bersalah sebab masuk dengan tak sopan. 

Pastu akak tu yang namanya...tak ingat, mintak salinan sijil. Aku pun bagi dan dia tanya mana sijil SPM aku. Aku takde sijil SPM, aku ada slip je. Dia tanya kenapa tak ambik. Aku pun cakap la, takde masa nak ambik. "Takkanla kerja takde cuti sampai takde masa nak ambik" tanya akak tu tadi. Well, soklan tu membuatkan aku rasa macam umur baru 22 tahun lepas grad. Dem, aku dah 11 tahun habis SPM kot dan takde sape pun pernah tanya sijil SPM aku. Elok je aku keje dah 3, 4 tempat dah. Aku macam dalam hati dah berkata kalau takde sijil SPM, tak boleh interview, aku dah siap sedia nak balik dah. Akak tu suruh nanti pergi sekolah ambik sijil. Aku angguk jela.

Lepas tu akak tu bagi la sikit tips kat kami 3 orang apa nak hafal, soklan2 yang bakal ditanya oleh penemuduga. Dia suruh hafal misi, visi, carta organisasi. Siapa Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Timbalan2 Ketua Pengarah, apa deskripsi tugas. Apa itu MyKad, MyKid. Cuak gak dan masa tu rasa macam dulu2 time nak ambik ujian PAFA depan ustazah. 

Masa tu jugakla telefon aku berbunyi. Aku dah niat nak silent tapi sebab takut ada call emergency dari kilang, jadi aku decide dekat nak masuk interview kang, baru aku nak silent. Akak macam cikgu tu suruh silent telefon. Tapi aku angkat jugak nombor tak kenal tu, manalah tau daripada supplier aku ke. Aku angkat, rupanya daripada kilang yang aku mintak kerja haritu. Dia tanya aku kerja ke. Soalan tu pada hari tersebut sungguh mengelirukan. Aku kerja, tapi hari ni aku cuti. Pastu dia cakap kita nak pakai orang urgent, ingatkan aku tak ada kerja lagi. Pastu, aku dengan agak desperate cakap aku boleh datang interview bila2. Tapi dia kata dia nak urgent. Mungkin dia tau kat kilang aku sekarang notis 3 bulan. Lama sangat dia nak tunggu. So, takdela aku dapat arrange interview di hari interview ni. 

Sambung cerita interview hari ni, akak tu tanya sama ada kami ada apa2 soklan lagi tak sebelum dia nak bawa pergi ke bilik interview. So, kami ni pun adalah tanya sikit pastu kami semua ni dibawa ke bilik interview. Member sorang tu masuk dulu. Aku tak tau mana dia tau dia kena masuk. Dia masuk tinggalkan beg dia kat luar. Lepas tu, lebih kurang 5 minit, dia keluar dan tanya kat member sorang lagi, "jawatan ni nama Pembantu Tadbir kan?" Member sorang tu jawab, "bukan, Pembantu Pendaftaran" sambil tunjuk kat sign dekat tiang depan. Member tengah interview tu pun ambik surat tawaran dia dari dalam beg dan masuk balik sambung interview. Dalam 5 minit lepas tu dia keluar. Dia kata kat kami semua yang kitorang hafal tu ditanya. Aku dan member sorang lagi tu dah simpan pun notes. Tawakal jela. Pastu member tu tunggu bunyi loceng. Puiihh, tak dengar kot loceng bunyi halus. Member dah cuak sebab tak pasti bunyi loceng. Aku lagila, tadi langsung tak dengar bunyi loceng tu. Pastu kitorang pasang telinga, dan bila dengar tu cepat2 suruh dia masuk. Dia interview tak lama pun. Sementara tunggu dia habis, ada sorang akak approach aku. Dia kerja situ dan muka dia macam cikgu praktikal sekolah. Muka semangat tau. So, kitorang borak2 la. Dia cakap, kalau ada nametag, pakai nametag. Kiranya pakai nametag tempat aku sedang kerja. Senang penemuduga tengok nama. Tapi aku memang takde nametag. Jadi, dia kata tu antara tips temuduga la. Mungkin gak dia sebaya ngan aku tapi sebab aku rasa macam budak baru lepas grad, so, semua kat situ akak dan abang bagi aku.

Habis member tu interview, giliran aku la plak kan. Dengar loceng, akak macam cikgu praktikal tu suruh masuk dan pesan, ketuk pintu, bagi salam. Ok, aku buat. Lepas tu aku bagi fail sijil asal aku kat penemuduga. Ada 2 orang. Sorang laki, sorang pompuan. Terus ditanya kenapa aku takde sijil SPM. Dalam masa aku terangkan kenapa aku takde sijil tu aku pun duduk. Sebab aku rasa macam kekok pulak bercerita sambil berdiri. Haha! Bukan kena tunggu dia suruh duduk dulu ke? Tapi dia dah cerita panjang suruh aku pergi ambil sijil bla, bla, bla. Jadi, aku pun duduk jela.

Soalan pertama dia tanya suruh perkenalkan diri. Aku pun cerita la...lepas tu aku pandang penemuduga, dia beria pandang aku. Oh, lupa kena buat eye contact. So, aku pun sambung cerita sambil buat eye contact. Dia tanya sekarang aku kerja apa. Aku cakapla aku assisstant engineer (tak bertauliah). Dia tanya, sanggup ke nak kerja ni sebab gaji rendah sebelum dia teruskan temuduga. Aku pun sebenarnya tak jitu keputusan sanggup atau tak. Nak kerja kerajaan, nak berhenti kerja sekarang ni, tapi sayang dengan gaji sekarang, gaji jawatan kerajaan ni terlalu kecik. Aku datang ni untuk pengalaman dan takut kalau tak datang, SPA banned plak nama aku. Jadi, aku dengan konfidennye mengatakan, "Saya percaya untuk bermula dari bawah" aku dengar balik, gelak plak. Haha! Lepas tu dia cakapla gaji rendah, RM936, kenaikan pun sikit dalam RM80 ke RM90 je setahun. Naik pangkat bukan ikut macam swasta, ikut skill map, tapi ikut kekosongan. Aku dengan konfidennya mengatakan aku faham semua tu walau dalam hati dah berbelah bagi di situ.

Lepas dia percaya kefahaman aku, dia tanyakan apa deskripsi tugas. Aku pun bagi tau. Hafal 8, rasanya bagi 5 je pastu cakap 'dan lain2'. Mengelat...Lepas tu dia tanya apa maklumat pada mykad. Aku cerita la ada nama, alamat etc. Pastu dia tanya plak apa fungsi mykad yang aku tahu. Hampeh, tadi akak macam cikgu tu tak suruh hafal pun. Yang aku tau ada fungsi kad ATM. Yang lain aku tak boleh nak recall dan untuk mengelak muka cuak nak fikir, aku cakap "tu je yang saya tau, maaf". Pastu penemuduga pompuan tu pun terangkan apa lagi fungsi2 mykad. Ni carilah sendiri sebab aku pun tak ingat apa dia cakap. Aku angguk je macam burung belatuk time dia cakap. Haha! Pastu ditanya plak JPN ni bawah kementerian apa. Fuh, nasib baik dah hafal. Hafal tau. Ni sepatutnya pengetahuan am. Bawah Kementerian Dalam Negeri. Ditanya pulak siapa menteri. Aku pun jawabla Zahid Hamidi dengan pangkat2 dia sekali. Lepas tu ditanya pulak kenapa aku patut diambil berkerja. Aku pun gorengla masak kicap. Haha. Pastu dia cakap kerja ni kerja kat kaunter, kalau kat Putrajaya, mungkin kerja dalam ofis. Macam mana nak tangani pelanggan yang marah2. Aku pun goreng berlada. Haha! "Kalau orang tu tak faham lagi?" Aku cakap "saya akan minta orang lagi tinggi daripada saya terangkan kat dia" Penemuduga pun angguk2, tapi tak taula itu ke jawapan yang dia nak. Soalan last dia tanya sanggup tak ditempatkan jauh2. Sabah ke, Sarawak ke, kat pedalaman ke? aku gelak 'hehehe' je dan cakap "boleh.....lagipun saya masih bujang, takde komitmen lagi, hehehehehe..." panjang la jugak gelak tak ikhlas nak cover cuak aku tu. Lepas tu penemu duga perempuan tu tanya kat penemuduga laki tu ada soklan lagi tak. Oh, dia geleng2 sambil senyum. Nak cerita, yang tanya soklan semua penemuduga pompuan tu dan yang laki tu dari awal sampai habes dok senyum sipu2 je. Pastu mereka pun ucap terima kasih, aku pun ucap terima kasih. Sebelum keluar, kat muka pintu, aku beri salam. 

Akak macam cikgu praktikal tu kat luar lagi. Dia tanya ok ke? dengan muka semangat tau. So, aku pun senyum cakap ok. Okla, 9.10am, waktu aku patut interview tapi dah habis dah. Sempat lagi kalau nak masuk kerja 10.30 tapi sebab dah mintak cuti sehari. So, aku pun decide pegi PD kejar ketam.


Cerita di atas ni sekadar pengalaman tak seberapa aku. Tak layak nak dijadikan tips temuduga terhebat 2015 pun. Sekadar cerita dan bolehla ambik mana patut dan haruslah diambil buat pedoman supaya jangan dibuat pada mana yang tak patut. Happy to share guys! Good luck dalam temuduga anda. 



Sunday, 10 May 2015

Rindu

Sekarang ni...rindu. Tapi tak tau dengan sape.

Hari ni hari ibu. So, seperti biasa tak pernah sambut dan tak akan boleh sambut dengan mak. So mungkin rindu kat mak. Tiap-tiap hari pun rindu dengan mak, tapi mungkin sebab semua orang sangat gigih post something to their mother kat FB dan IG. Macamlah mak2 mereka tu ada FB dan IG. Oh, mak mereka muda. So adela benda2 tu. Ok, jeles.

Kedua, mungkin rindu dengan Allah sebab cuti sekarang. Sejak aku makan Aura White ni, period au macam tak menentu. Seminggu akan keluar tompok sikit2 lepas tu after seminggu baru keluar macam period normal.Lama la tak dapat solat.

Ketiga, mungkin rindu kat Fahrin Ahmad. Dia kan kahwin semalam. Sejujurnya memang tak rasa apa. Jeles pun tak, marah pun tak cuma rasa sedikit sedih. Sedih sebab kahwinnya lelaki yang aku jadikan shield. Shield macam mana? Ni cerita yang aku tak pernah bagitau sesiapa. Tapi ia bukanlah rahsia, cuma tak pernah bagitau. Fahrin Ahmad sekadar alasan. Aku bukan minat dia sangat. Lakonan dia pun aku jarang sangat tengok. Cuma dia antara artis lelaki hensem yang solo. So, dia bertindak sebagai shield bila orang sentuh soal boyfriend, kahwin, suami dan setaranya. Aku akan cakap aku suka fahrin, aku nak fahrin jadi husband. Sesiapa yang approach, aku cakap aku nak orang macam Fahrin. Bila aku nak berangan pasal kahwin dan cerita kat orang, aku akan cerita konon2 fahrin suami aku. Hakikat sebenar aku taknak orang fikir aku pathetic sebab solo sangat2. Boyfriend pun takde. So, aku letak je la nama Fahrin Ahmad dan semua orang ingat aku betul2 suka dengan dia. So, lepas ni siapa nak jadi mangsa aku sebagai shield?

Keempat, mungkin rindu dengan K. Seminggu lebih tak jumpa dia langsung. Dia mesej cakap miss aku. Tapi macam mana aku nak percaya bila kadang2 aku balas, dia ambik masa lama sangat nak balas. Dan ayatnya ialah miss aku. Bila dok ulang ayat sama setiap kali. Ayat tu jadi macam no meaning. Dan aku sedih sebab aku faham. Aku faham dia sedang mengutamakan orang lain selain aku. Dan aku perlu redha sebab siapa aku nak mempersoalkan pada yang bukan hak?

Yang kelima. Ni bukan rindu. Tapi nervous nak keje besok. Nak brief pagi. Nak cerita pasal audit. Adoi, benda paling tak suka. Dulu, aku dah gain self confidence untuk bercakap, tapi jadi down bila kena marah waktu bagi briefing tu. Gosh, I hate the toyol kepala gondol tu so much. Can't anyone see that dia tu nanah dalam section tu. Bila tengok bos section lain rasa jeles sangat sebab mereka yang lain ni sangat baik dan boleh diajak berbincang...Ya Allah kuatkanlah semangat aku untuk menempuh hari mendatang. Andai ini dugaanku untuk dapat masa depan yang terbaik, di dunia dan akhirat, aku redha Ya Allah.

Friday, 24 April 2015

Di Mata Aku

Rasanya.. aku ni dah dalam situasi WAJIB KAHWIN.

Setiap hari, boleh kata jugak setiap masa, asyik fikir pasal kahwin, ada suami, anak-anak. Crazy! Tapi ini fitrah yang tak dapat nak elak. Siapa calon lelaki. Wajah bayangannya masih blur. Never think of anyone as a husband. 

Meh aku senaraikan pro dan kontra lelaki-lelaki yang agak rapat dengan aku.
K
Pro  
Hensem
Tinggi
Putih
Badan sedap2
Senyum manis
Baik dengan orang
Romantik

Kontra
Laki orang. Ok, ni memang super kontra la kan
Erm...kurang alim
Tak suka tempat ramai orang
Tak pandai/tak yakin cakap omputeh
Jawatan lagi rendah daripada aku

R
Pro
Baik
Faham aku
Stok solat
Pangkat lebih kurang
Baik dengan orang
Pandai cakap omputeh

Kontra
Big size
Tangan kasar
Orang selalu compare orang size besar dengan dia

A
Pro
Baik
Baik sangat dan peramah dengan orang
Stok solat dan alim
Suka hal2 agama ni
Seronok borak 

Kontra
Dia driver je
Kerja masa tak tentu
Tinggi sikit kot daripada aku
Tak nampak usaha nak serius dengan aku. Ini la masalahnya.

N
Pro
Kawan baik aku lama dah
Antara orang pertama yang like kebanyakan status FB aku
Pandai
Keje bagus
Ramai kawan

Kontra
Satu-satunya.....mak dia tak kasi kahwin orang Negeri Sembilan.
Mungkin takut kono komat.So, aku takdela nak berharap..

Ok, tak tau macam mana aku ended up making this list of pro and kontra. Mungkin ia membantu aku untuk bertenang. Wayar yang berselirat tadi tu dah elok sikit susunannya setelah membuat senarai buruk baik mereka di mata aku. Diulangi mata aku. Orang lain pandang macam mana aku tak peduli.
So, tu jela. Muhasabah diri. Ada jodoh tu nanti. Dia keje gaji besar kat oversea. Hmmmm....

             

Saturday, 18 April 2015

Untuk Sementara

Phew..sukarnya nak cerita, susahnya nak mengaku....

Bismillahirrahmanirrahim....

Pernah tak korang bercinta dengan suami/isteri orang?
Aku pernah, atau tepatnya sedang.
Bercinta ke ni? Apa maknanya cinta? Macam mana bercinta? Boleh beri definisi?

Aku namakan dia sebagai K.
Dia ni lebih kurang sama macam si 'dia' kisahnya. Kawan satu section, baik dengan dia. Main wechat ngan dia. Tup2 dia cakap dia suka aku. 

Sebelum tu, aku kawan macam biasa dengan dia. Kawan senang nak kaw tim. Dia main-main cakap kat satu kilang aku tunang dia. Aku anggap itu gurauan. Aku selalu je tanyakan anak bini dia. Dia pun selalu cerita pasal anak bini dia. 

Sekarang tak lagi. Kami masih cakap, tapi aku paling nervous nak pergi toilet sebab kena lalu tempat dia. Dia wajib tegur, aku tak tau nak beri reaksi apa. Aku tak lagi tanya pasal anak bini dia. Dia tak lagi cerita pasal anak bini dia. Dia dah jarang panggil aku tunang dia. Sebab tunang tu istilah gurauan. Hubungan ni bukan lagi gurauan.

Tiap-tiap hari kami wechat. Tapi ada time. Selalu pukul 11 pm ke atas. Mungkin dia tunggu anak bini dia tidur dulu. Aku tak pernah mesej dia dulu. Sebab aku faham dia ada keluarga perlu didahulukan. Tapi sedihnya kat aku ialah aku tunggu. Aku tunggu sampai tahan mata taknak tidur dulu. Aku nak tunggu dia mesej.

Setiap hari dia cakap dia miss aku. Aku tak pernah balas walau hakikatnya aku pun rindu. Aku tak pernah cakap yang romantik-romantik kat dia sebab aku taknak bagi harapan. Yang sedih harapan tu kat diri sendiri. 

Ada masa aku nak merajuk. Contoh dia cakap dia miss aku. Aku lambat balas, dia tanya aku dah tidur ke. Aku balas belum. Lepas tu dia senyap. Malam tu malam Jumaat. So, paham2 jela. Tapi siapa aku nak merajuk untuk yang bukan hak? Jadi aku tak pernah ungkit. Besoknya, aku senyum kat dia macam semalam tu takde apa-apa. Macam aku tak tau. Aku tau, tapi aku faham dan aku perlu buat tak kisah.

Sampai bila hubungan ni? Hubungan ni tak ke mana. Akan berpenghujung tapi tak tau bila dan macam mana. Aku harap sangat. Sangat2 harap aku tak menangis, frust menonggeng bila hubungan ni berakhir. Dan aku tau dia tak akan rasa apa-apa pun bila hubungan ni berakhir. Lelaki...Aku pun bukan yang pertama so, dia boleh cari lain...

Tapi untuk sekarang, aku happy. Aku semangat pergi kerja. Mood aku baik kat kilang. Aku tak grumpy. Aku senyum je. Kena marah pun rilek dan senyum. Untung sebab si K ni pun manjang senyum je muka. Sejuk mata tengok. Orang lain pun suka tengok. So aku ni jeles la. Rasa nak karate pompuan2 gatal ni. Tapi sebab aku bukan siapa2 maka sabar jela....
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Bila bukan yang utama
Harus tahu letak duduk
Bila kasih ada waktu
Harus tahu pujuk hati
Bila kekal tiada harap
Harus pandai jaga diri
Bila rindu terbit datang
Harus diam jangan luah
Bila cinta enggan menyambung
Harus bawa haluan lain

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ku tahu ini salah
Ku tahu ini palsu
Ku tahu ini sementara
Ku tahu ini sakit

Ke terima kerana tiada yang betul
Ku terima kerana tiada yang benar
Ku terima kerana harap yang kekal
Ku terima kerana ianya manis

Harap jangan pergi bila kau tak mahu
Biar aku berundur bila tak lagi perlu